TIDAK sampai sebulan melangsungkan perkahwinan, pelakon cantik, Raja Farah Raja Aziz, 22, membuat keputusan meninggalkankerjaya seninya.
Walaupun berat namun bagi Raja Farah itu adalah keputusan yang dibuat setelah berbincang dengan suaminya dan ianya bukan paksaan mana-mana pihak.
Keputusan meninggalkan bidang lakonan mungkin agak mengejutkan sementelah dia masih muda dan berbakat sebagai pelakon.
Namun nasihat suami, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 25, agar dirinya mengurangkan kehidupan glamor membuatkan Raja Farah berulang kali berfikir apakah langkah terbaik yang perlu diambil.
Menjejakkan kaki ke dunia glamor seawal usia 15 tahun barangkali telah memberi pelbagai perspektif dan pengertian bagi dirinya tentang pahit dan manis disimbahi kemilau cahaya glamor.
Mengharungi dunia glamor bukanlah semudah yang disangka.
Jelasnya, banyak pengorbanan terpaksa diberikan terutamanya soal tumpuan masa, perasaan dan privasi.
"Saya ambil keputusan ini atas nasihat suami juga. Kalau diikutkan, saya belum bersedia meninggalkan dunia lakonan sebab saya masih belum mencapai apa yang saya idamkan dalam lakonan iaitu memenangi anugerah.
"Sebagai permulaan saya akan mula mengehadkan penglibatan saya dalam bidang ini sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan."Di masa depan, jika sesekali nak berlakon saya hanya menerima jika skrip dan cerita yang mampu menguji bakat saya.
"Saya sebenarnya sudah mula berasa rimas dan bosan apatah lagi apa yang selalu saya inginkan tidak dapat. Memang berat juga membuat keputusan sebegini."Nak kata kecewa tidaklah. Saya jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk kuatkan usaha," kata Raja Farah dengan nada tenang.
Dihambat gosip yang cukup menguji baru-baru ini tentang hamil sebelum nikah benar-benar meruntun jiwa pelakon filem Apa Kata Hati itu.Apatah lagi gosip tersebut 'menyerang' menjelang hari bahagianya pada pertengahan November lalu.
Kini, Raja Farah mula menjinakkan diri dalam bidang perniagaan pula.
Di sebalik raut wajah yang tenang menceritakan pengunduran dirinya itu, rupa-rupanya ada rasa kecewa yang dipendam selama tujuh tahun mengharungi hidup sebagai anak seni.
Siapa sangka dalam diam, Raja Farah terpaksa berdepan dengan masalah kesihatan akibat tekanan hidup yang seiring mengulit popularitinya.
Mengulas pertanyaan mungkinkah gosip yang melanda dirinya sebelum ini menjadi faktor utama dia membuat keputusan tersebut, tanpa berselindung Raja Farah menjelaskan dia benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku.
"Saya sangat kecewa. Kadang-kadang rasa sampai tak boleh nak beri penafian. Bayangkan saya mengalami migrain dan tertekan untuk menghadapi apa yang berlaku."Ingatkan masa mula-mula terlibat dalam seni saya boleh tangani pelbagai gosip rupanya tidak. Apatah lagi, gosip yang datang adalah fitnah.
"Kesan daripada gosip itu, ahli keluarga memandang serong pada saya begitu juga peminat. Namun, saya bersyukur setelah membuat penjelasan mereka adalah orang yang banyak memberi sokongan," kata Raja Farah.
0 komentar:
Posting Komentar
give your comment here, please do not spam